Budaya BN Beri Perkhidmatan Terbaik, Cemerlang
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
sememangnya menjadi budaya Barisan Nasional (BN) dalam memberi
perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada rakyat.
Beliau berkata perjuangan BN menjurus kepada kesinambungan perkhidmatan
cemerlang secara berpanjangan dalam soal memajukan kawasan luar bandar,
termasuk melalui bidang pendidikan.
"Kita memberi peluang pendidikan supaya anak-anak kita maju agar boleh
meningkatkan kehidupan keluarga...dan satu hari nanti menjadi
profesional yang membawa pembangunan ke kawasan kita," katanya semalam.
Beliau berucap pada majlis 'Pemimpin Bersama Rakyat' di Rumah Panjang
Emak Libau, Nanga Antaroh di Sungai Sut, kira-kira 30km dari sini.
Turut hadir, Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yang
juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta calon
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Igang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata suasana politik di Sarawak yang
baik dapat menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak
ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini.
"Suasana politik di sini adalah suasana persaudaraan sesama penduduk
berlainan kaum, budaya, agama dan bangsa. Rakyat Sarawak harus bersatu
hati untuk pastikan kemenangan pasukan Tok Nan (Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem)," katanya.
Penamaan calon bagi PRN-11 berlangsung semalam.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM195,000 untuk membaik pulih
Rumah Panjang Emak Libau yang akan memberi manfaat kepada 39 keluarga
yang mendiaminya.
"Kalau orang bagi ubi saya harus bagi batas, kalau orang berbudi saya
harus balas kepada penduduk rumah panjang ini. Maka adalah munasabah
untuk memberi bantuan ini," katanya.
-BERNAMA