Jangan Guna Landasan Politik Untuk Kepentingan Perniagaan Dan Peribadi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu ahli politik yang lebih mengutamakan perniagaan serta kepentingan peribadi berbanding khidmat kepada rakyat untuk berundur daripada pentas politik.
Beliau berkata sikap segelintir pemimpin dan anggota politik itu merosak dan mencemar nama baik parti serta negara.
Ahmad Zahid berkata golongan seperti ini menjadi punca kepada pandangan negatif rakyat kepada ahli politik dan anggota kerajaan, serta menjejas peluang kepada golongan usahawan sebenar, terutama usahawan muda yang mahu bertapak dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata tugas dan tanggungjawab utama pemimpin serta anggota parti politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, dan bukan untuk menjadikan parti politik sebagai platform untuk mendapat lebih banyak tender kerajaan.
"Beri peluang kepada usahawan muda. Cukuplah... jangan rosakkan nama orang politik," katanya.
Ahmad Zahid meminta mereka yang berpolitik supaya memberi sepenuh tumpuan kepada politik manakala yang berniaga pula memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan masing-masing.
Menurutnya golongan yang berniaga atas landasan politik tidak akan dapat kekal dan bertahan lama kerana ia berbeza dengan golongan peniaga sebenar yang tidak mencampur aduk urusan perniagaan dan politik.