Zahid Terima Kunjungan Hormat Setiausaha Parlimen Dalam Negeri Singapura
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Amrin Amin di Perdana Suite, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Turut mengiringi Amrin dalam pertemuan 30 minit itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon.
Ketika ditanya mengenai lawatannya, Amrin berkata beliau dan Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, membincangkan pelbagai isu termasuk usaha menangani jenayah rentas sempadan dan ektremisme.
"Dalam pada itu, kita juga berharap masalah jerebu yang melanda kedua-dua negara masa kini dapat ditangani bersama," katanya, yang turut menyampaikan penghargaan atas hubungan baik Malaysia dan Singapura.
Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke atas Ahmad Zahid selepas dilantik ke jawatan itu September lepas.