UPP akan dinaik taraf jadi agensi keselamatan sempadan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan
Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) akan dinaik taraf menjadi Agensi
Keselamatan Sempadan.
Menurutnya,
entiti baharu melibatkan tiga agensi teras iaitu Polis Diraja Malaysia,
Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia itu juga turut akan
melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain sebagai nilai tambah.
"Kertas dasar mengenai cadangan itu telahpun disediakan dan akan
dikemukakan kepada Jemaah Menteri," katanya ketika berucap merasmikan
Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan di Dewan Mu'adzam Shah,
Universiti Utara Malaysia pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri
Dalam Negeri (KDN) menegaskan, melalui penaiktarafan tersebut, tidak
akan ada peruntukan dan perjawatan baharu diwujudkan, sebaliknya beliau
berjanji akan memberikan imbuhan kepada kakitangan dan pegawai UPP
sekiranya mereka mempamerkan prestasi kerja cemerlang.
"Yakinlah
apabila rampasan barang dan penyeludupan dan pemerdagangan manusia dapat
dikurangkan, adalah sesuatu imbuhan yang akan saya berikan sebagai
insentif, ini janji saya.
"Ubah pendekatan, jangan minta dulu,
kita beri dulu.. Tak payah nak tunggu imbuhan, baru nak motivasi diri..
KDN dan agensi serta yang lain, kita buktikan kepada Perdana Menteri,
kita tak minta sebelum beri. Kita laksanakan, dan kerajaan akan bagi
timbal balas," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, negara kerugian
sehingga RM7 bilion setahun akibat masalah sempadan negara yang
dibolosi, termasuklah kerugian barang bersubsidi.
Kata Ahmad
Zahid jumlah rampasan barangan UPP, turut menunjukkan peningkatan di
mana pada 2013, jumlah rampasan bernilai RM17 juta, diikuti pada 2014
bernilai RM18 juta, meningkat kepada RM38 juta bagi tempoh Januari
hingga Ogos 2015, peningkatan 100 peratus dari tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara agensi
penguatkuasaan harus diperkukuh termasuk dengan menterjemahkan konsep
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) agar "tidak berfikir dalam
kepompong kecil" dan seperti "katak di bawah tempurung".
Dalam
majlis itu, Universiti Utara Malaysia memeterai memorandum persefahaman
(MoU) dengan KDN dalam bidang penyelidikan saintifik dan empirical
tentang isu-isu keselamatan.