Perhimpunan 16 Sept: Jangan sentuh sensitiviti perkauman - Zahid Hamidi
Polis akan mengambil tindakan terhadap peserta 'Himpunan Rakyat
Bersatu' esok sebagaimana yang dilakukan terhadap perhimpunan Bersih
jika mereka mengingkari arahan dan menyentuh sensitiviti perkauman, kata
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis akan memantau
aktiviti perhimpunan baju merah anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan
Malaysia (Pesaka) di Padang Merbok, Kuala Lumpur itu.
"Walaupun perhimpunan itu mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL), polis telah menentukan beberapa syarat terutamanya
perarakan dari lima tempat untuk ke Padang Merobok mesti tidak dicemari
dengan kain rentang, poster atau kata-kata kesat yang menyentuh
soal-soal sensitiviti perkauman dan perkara-perkara dalam Akta Hasutan.
"Polis akan merampas kain rentang dan poster (menyentuh isu perkauman).
Kita akan mengambil tindakan sebagaimana yang kita ambil dalam
perhimpunan Bersih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan
perjumpaan dengan peserta konvoi Asean Ride di sini hari ini.
Kira-kira 30,000 peserta daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri Himpunan Rakyat Bersatu itu.
Semalam, DBKL membenarkan penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman itu di Padang Merbok.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Himpunan Rakyat Bersatu bukan
program UMNO sebaliknya dianjurkan gabungan pelbagai NGO yang menyokong
perhimpunan itu bagi memperlihatkan maruah seorang individu tidak
seharusnya dipermainkan apa lagi dijatuhkan.
"Saya berharap mesej
ini difahami semua. Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, budaya dan
agama, kita harus menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Ahmad Zahid memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
beliau tidak akan berada di lokasi perhimpunan kerana berada di Sabah
untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia.
“Saya berharap perhimpunan (Rakyat Bersatu) tidak dikonotasikan sebagai melawan arus gelombang kuning dengan gelombang merah.
"Ini sekadar manifestasi bagaimana jauh di sudut hati mereka yang
dicabar maruahnya, disuarakan untuk memperlihatkan bahawa tidak perlu
adanya provokasi dilakukan oleh mana-mana indvidu atau pemimpin
organisasi sama ada berdaftar atau tidak.
"Tentunya apabila empat
kali perhimpunan baju kuning diadakan, saya fikir tidak perlu risau baju
merah yang hanya berkumpul sekali,” katanya.
Semalam, Najib yang
juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas menilai pelbagai pendapat
daripada komponen parti BN berkata perhimpunan aman itu boleh diteruskan
namun ia perlu mematuhi undang-undang.
Najib turut mengingatkan
perhimpunan itu seharusnya mengelak pergeseran dan perbalahan yang boleh
menggugat keamanan berikutan hari itu merupakan hari bersejarah
penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963.