Orang Melayu tidak berdiam diri apabila dicabar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata orang
Melayu tidak akan berdiam diri sebaliknya bangkit mempertahankan maruah
bangsa mereka apabila dicabar.
"...apabila maruah kita (orang
Melayu) dicabar, adakah kita mahu terus ditolak ke dinding dan kita
berdiam diri. Jangan harap itu berlaku, kita akan bangkit menjaga maruah
dan sahsiah kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.
Turut hadir Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak
dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian semasa merujuk
kepada Himpunan Rakyat Bersatu anjuran Persatuan Seni Silat Kebangsaan
(Pesaka) dan disertai anggota-anggota 250 badan bukan kerajaan (NGO)
lain di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya walaupun
polis menyatakan perhimpunan itu disertai kira-kira 35,000 orang, tetapi
beliau berpendapat jumlahnya jauh lebih besar hingga mencecah 150,000
orang.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak yang telah
menganjurkan perhimpunan sebanyak empat kali sebelum ini supaya tidak
menganggap mereka mendapat sokongan majoriti sehingga menafikan golongan
majoriti yang senyap.
"Apa-apa sahaja yang berlaku, akan ada tindak balasnya," kata beliau.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementerian dan
Polis DiRaja Malaysia akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman
awam sentiasa terpelihara.
"Kita tidak akan berkompromi dengan
mana-mana pihak yang mahu merobek keselamatan dan ketenteraman awam
serta negara," katanya sambil meminta semua pihak di negara ini supaya
menghormati antara satu sama lain.
Terdahulu, Mohamed Mustafa
berkata Ghazali Shafie Graduate School of Government di UUM berhasrat
menyumbang kepakaran membantu negara dalam isu membabitkan keselamatan
dan pengurusan sempadan negara.
Beliau berkata isu-isu besar
seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta pendatang asing
tanpa izin, jika tidak dibendung, boleh menjejaskan eselamatan negara.
Sehubungan itu, katanya UUM menawarkan khidmatnya menjadi pusat sumber
dan rujukan kepada kerajaan dalam hal ehwal sempadan berikutan lokasinya
yang berdekatan dengan sempadan negara.
#ZAHIDHAMIDI #DSZH #TPM #ZHFC