KENYATAAN MEDIA : SEMPENA LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI KE INDONESIA
YAB
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah
membuat lawatan rasmi ke Indonesia pada 18 hingga 20 September 2015.
Di
dalam rangka lawatan tersebut, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
telah bertemu dengan TYT Luhut Binsar Pandjaitan, Menteri Koordinator
Politik, Hukum dan Keamanan dan kemudian mengadakan kunjungan hormat ke
atas TYT Yusuf Kalla, yang merupakan wakil kepada Presiden Republik
Indonesia.
Antara isu utama yang dibincangkan adalah usaha
untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat risikan mengenai
isu anti keganasan. Kedua-dua negara akan bekerjasama dalam program
deradikalisasi yang mana Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri
(KDN) akan menjadi tuan rumah bengkel antarabangsa deradikalisasi
tersebut.
Bengkel yang dijangka akan dilaksanakan pada
bulan Januari 2016 itu akan menyediakan Sistem Piawaian Standard (SOP)
untuk menangani radikalisasi. Selain Indonesia, negara-negara lain yang
akan dijemput adalah seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan
Australia.
Perbincangan dua hala Malaysia dan Indonesia
ini juga telah bersetuju menjalin kerjasama serantau dalam mengawal
masalah jerebu. Pihak Indonesia akan memperketatkan penguatkuasa
undang-undang manakala Malaysia akan memantau syarikat-syarikat GLC
negara yang beroperasi di Indonesia mengenai usaha bersama ini.
Menyentuh
mengenai isu PATI Indonesia, Malaysia telah menganjurkan program
pemutihan untuk PATI Indonesia di Malaysia terutamanya yang telah
mempunyai pekerjaan dan majikan tetap. Kerjasama kedua-dua negara akan
diteruskan mengenai isu PATI ini.
Langkah ini dipandang
serius oleh kedua-dua pihak bagi mengelakkan insiden seperti kejadian
bot karam PATI Indonesia baru-baru ini tidak berulang lagi.
Isu persempadanan kedua-dua negara juga dibincangkan selain isu ekonomi dunia dan dagangan dua hala.
Timbalan
Perdana Menteri juga dijangka akan berjumpa dengan TYT Hanif M.
Dhakiri, Menteri Ketenagakerjaan dan Transmigrasi dan TYT Jahyo Kumolo,
Menteri Dalam Negeri Indonesia.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga akan mengadakan perjumpaan dengan warga Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
PEJABAT TIMBALAN PERDANA MENTERI
(19 SEPTEMBER 2015)