Malaysia komited isu keamanan sejagat
KETEGASAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Perbahasan Umum Ke-71, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini membuktikan komitmen Malaysia dalam menangani pelbagai isu antarabangsa khasnya yang berkaitan dengan keamanan sejagat. Apa yang dijelaskan oleh Ahmad Zahid memang tepat pada waktunya. Sebagaimana maklum, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah sebuah badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir urus dunia sejagat. Namun, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila hari ini, PBB dilihat seperti sudah tumpul taringnya dan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu usaha yang efektif, khasnya sebagai sebuah badan pengaman antarabangsa.